Viral

Cara Pensyarah Ini Minta Bukti Sembilan Pelajar Ada Dalam Kelas Memang Pelik Tapi Kelakar

Macam-macam ragam orang di institusi pengajian tinggi (IPT), tidak kurang pelajar disergah atau ditegur oleh pensyarah kerana ponteng kelas.

“ Ambil gambar semua, duduk dalam kumpulan. Saya bagi seminit dari sekarang. Kalau tak ada maksudnya ada yang tiada di IKM,” kata pensyarah terbabit yang merujuk kepada Institusi Kemahiran Mara (IKM), sebelum dibalas dengan sekeping gambar sembilan pelajar.

Namun pensyarah berkenaan mengarahkan mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak diduga sebagai bukti mereka benar-benar berada di perpustakaan.

“ Gambar korek hidung semua cepat, confirm tak ada dalam IKM. Ni gambar zaman bila entah, ” soal pensyarah tersebut sebelum menerima foto dengan aksi masing-masing pelajar mematuhi arahannya.

Perbualan menerusi aplikasi grup WhatsApp itu menjadi tular selepas ia dimuat naik di laman Twitter sehingga dikongsi lebih 12,000 kali.

Salah seorang daripada sembilan pelajar berkenaan, Muhammad Sofiyuddin Zaidi memberitahu, insiden tersebut berlaku di IKM Johor Baharu, Johor, baru-baru ini.

Pelajar berusia 20 tahun itu berkata, mereka tidak dibenarkan pulang ke asrama selagi belum selesai sesi kuliah bagi mengelakkan insiden ponteng kelas.

“ Kami dapat mesej daripada pensyarah bertanya kami kat mana sebab dengarnya ada pelajar yang pulang ke asrama.

“ Mungkin pensyarah nak periksa kami di mana sebab hanya kami sembilan orang dalam satu kelas. Masing-masing takut nak jawab sebab dia garang, sudahnya kami hantar gambar kami sembilan orang, ” katanya kepada mStar.

Muhammad Sofiyuddin berkata, mesej daripada pensyarah yang mengarahkan mereka korek hidung sebagai bukti berada di perpustakaan sememangnya mengejutkan.

“ Walaupun dia pensyarah yang garang, tapi pada masa sama dia suka buat lawak.

“ Tapi tak sangka dia buat lawak sampai suruh kami korek hidung. Tapi kami layankan saja sebab nak tunjuk bukti kami buat assignment di perpustakaan sementara tunggu kelas petang,” ujar anak jati Bera, Pahang itu.

Susulan tular perkongsian perbualan grup WhatsApp itu, pelajar Diploma Elektrik Domestik dan Industri itu kemudian menjelaskan kesemua mereka kemudian dipanggil oleh pensyarah berkenaan ke pejabatnya.

“ Pensyarah mesej kami kata nak jumpa semua. Masa tu berderau darah kami rasa cuak… segala macam rasa ada sebab pensyarah panggil kali ini tanpa beritahu sebab.

“ Sampai di pejabat dia, dengan muka garang seperti biasa dia tunjuk screen shot perkongsian saya di Twitter. Aduhai, pensyarah dah tahu… habislah kami masa tu, ” katanya.

Muhammad Sofiyuddin kemudian memberi alasan kepada pensyarah mereka bahawa susulan tular perkongsian itu, bekas-bekas pelajarnya dari IKM cawangan lain yang pernah diajarnya kirim salam.

“ Kami cuba ambil hati dia. Tapi betul juga, sebab posting tu ramai pelajar cari dia. Walaupun garang, tapi dia disenangi ramai pelajar. Pensyarah kemudian buat lawak lagi ‘aku legend, siapa tak kenal kan’. Tapi tiba-tiba minta telefon saya, kami makin cuak.

“ Rupa-rupanya dia nak ambil gambar kami depan dia dan minta upload di Twitter dengan kapsyen pensyarah yang ambil gambar. Dalam garang masih ada lawak dia, ” katanya secara berseloroh.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *