Viral

Tauke Kedai Belanja Roti Canai Hijau Kuning Percuma Walaupun Kedah Kalah FinaI

Meskipun pasukan bola sepak Kedah tidak berjaya membawa pulang Piala Malaysia 2019, namun sokongan yang ditunjukkan terhadap pasukan itu tidak pernah luntur.

Perkara itu dibuktikan seorang penjual roti canai dari Kuala Ketil di sini, Suhaimi Mat Zin atau lebih dikenali sebagai Pak Mi, 47, yang tetap menyajikan roti canai hijau kuning secara percuma kepada pelanggannya, semalam. Sebanyak 700 roti canai hijau kuning diberikan kepada pelanggan di Gerai Peladang, Kuala Ketil, mulai jam 4.30 pagi.

“ Bergelar naib juara, sekali gus mengharumkan nama Kedah cukup membuatkan kami sebagai penyokong berbangga dengan pencapaian pasukan Lang Merah.

“ Selain roti canai, saya turut memberikan minuman percuma, teh O dan teh O ais kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi.

Pak Mi berkata, sebanyak 32 kilogram tepung digunakan untuk menyediakan roti canai kali ini.

Katanya, tahun lalu, dia juga melakukan perkara sama ketika pasukan bola Kedah layak ke peringkat akhir Piala FA.

Menurutnya, dia meneruskan hajat untuk memberikan roti canai percuma sejak Kedah mara ke Final Piala Malaysia tahun ini.

“ Selain roti canai, kakak ipar, Rusnani Ishak, 63, yang berniaga di gerai saya juga turut memberikan nasi lemak hijau kuning percuma kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu pada tahun 2017, seorang pemilik restoran roti canai di Kedah juga telah melakukan hal sama dengan menyediakan roti canai percuma kepada pelanggan.

Pemilik Restoran Didie Roti Canai di Taman Tunku Maheran, Jitra itu mengotakan janjinya apabila memberi roti canai ‘Hijau Kuning’ percuma kepada pelanggannya.

Ia sebagai menghargai sokongan peminat pasukan Kedah yang pada waktu itu pasukan Kedah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia juga bertemu Johor Darul Takzim (JDT).

Difahamkan pemiliknya, Mohd Najmuddin Mohd Nor, 30, menyediakan 600 doh roti canai untuk penyokong Hijau Kuning yang hadir di restorannya.

Dalam aksi final Sabtu lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan status selaku pasukan gergasi bola sepak tanah air apabila menjulang Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan Kedah 3-0.

Kejayaan merangkul piala berprestij itu hadir lima bulan selepas skuad kendalian ketua jurulatih Benjamin Mora dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut, Jun lepas.

Lebih manis, ia merupakan kejayaan ketiga JDT dalam saingan musim ini apabila turut meraih gelaran juara Piala Sumbangsih sementara Kedah yang menjuarai Piala FA terpaksa melupakan hasrat menambah koleksi kejuaraan.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber  hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *