Wang Simpanan Makin Susut, Pelakon Lydiawati Tak MaIu Meniaga Makanan Demi Kelangsungan Hidup

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan sejak 18 Mac lalu benar-benar menguji sebilangan besar rakyat Malaysia.

Ramai yang hilang punca pendapatan terutama mereka yang bekerja sendiri dibayar gaji hari dan terpaksa bergantung hidup kepada bantuan kerajaan.

Bukan sahaja rakyat marhain, malah terdapat juga segelintir artis yang terkesan.

Banyak penggambaran drama dan filem terpaksa ditangguhkan, konsert dan program seni juga dibatalkan menyebabkan artis terbabit hilang sumber pendapatan, apatah lagi buat mereka yang bergantung sepenuhnya kepada bidang seni.

Namun, terdapat juga artis yang bijak mencari peluang lain sebagai mata pencarian sementara.

Lydiawati tak malu meniaga makanan.

Pelakon veteran Lydiawati, 52, berkata dia tidak malu untuk berniaga makanan demi kelangsungan hidup selepas tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Saimon berkata, dia tidak senang duduk tanpa berbuat apa-apa apatah lagi dia menjadi sumber mata pencarian ahli keluarganya.

” Sebagai ibu tunggal, sayalah yang menanggung perbelanjaan sekeluarga termasuk ibu yang uzur. Walaupun saya masih ada simpanan, tapi sampai bila ia boleh bertahan jika tidak mencari sumber pendapatan lain.

” Atas saranan kawan-kawan, saya mulakan perniagaan makanan dan lauk-pauk secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian.

” Mujur, rakan artis seperti Erma Fatima dan Ellie Suriaty menjadi pelanggan tetap serta membantu memasarkan perniagaan saya di laman sosial.

” Buat apa nak malu berniaga makanan. Daripada duduk diam-diam di rumah, baik saya cari sumber pendapatan.

” Walaupun pendapatannya tak sebesar mana, saya seronok kerana ada juga duit masuk,” katanya.

Dia juga cuba sedaya-upaya untuk tidak meminta bantuan daripada mana-mana pihak kerana ingin memberi keutamaan kepada rakan artis lain.

Akui terbeban tapi belum tahap meminta

” Saya akui selepas PKP, memang agak terbeban juga dari segi kewangan dan terpaksa bergantung kepada wang simpanan.

” Adalah sedikit tabungan tetapi tidaklah seperti artis-artis muda dan popular yang mungkin memiliki simpanan besar.

” Namun, saya bersyukur masih dapat menampung hidup dan belum tahap sampai meminta bantuan. Bukan sombong, tapi lebih baik beri peluang kepada artis lain yang memerlukan atau sak1t,” katanya.

Dalam pada itu, Lydiawati juga berharap penggiat seni termasuk dirinya dapat kelonggaran untuk kembali bekerja secepat mungkin.

” Dengan simpanan semakin susut, saya berharap kami diberikan kelonggaran bekerja semula dan menjalani penggambaran.

” Bukan apa, saya kena menanggung keluarga seorang diri dan perlu mencari wang,” katanya.

Sementara itu, pada April lalu, Lydiawati antara nama yang terpalit dengan isu perdebatan dengan seorang pelakon kntroversi iaitu Zarina Anjoulie yang mendesak permohonan maaf.

Ia susulan dakwaan Zarina, beberapa artis telah memburukkan namanya dalam aplikasi grup Telegram, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Lydiawati yang mengatakan dia tidak mengenali Zarina dan tidak pernah berjumpa.