Semasa

Individu Lolos Diingatkan Tunggu Tindakan Daripada PDRM. Polis Terpaksa Ambil Tindakan Ini

Gambar dan video yang tular di beberapa plaza tol di ibu negara menunjukkan betapa masih ramai yang mencuba nasib untuk rentas negeri bagi tujuan balik kampung.

Bukan sedikit jumlahnya, jalan sampai sesak kerana jumlah kenderaan yang tinggi mahu meninggalkan ibu kota.

Timbul persoalan adakah mereka mempunyai permit. Sedangkan kerajaan sudah mengatakan tiada lagi kebenaran dikeluarkan kepada individu yang mahu rentas negeri.

Sementara itu, polis ada pelbagai pendekatan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang lolos untuk balik kampung menyambut Aidilfitri walaupun berjaya melepasi sekatan jalan raya.

Polis terpaksa meskipun masyarakat tidak suka

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata justeru, orang ramai diminta tidak mengambil mudah mengenai perkara itu.

” Walaupun dapat melepasi pemeriksaan SJR sehingga ke destinasi dituju, polis ada pendekatan tertentu untuk mengatasi perkara itu.

” Awas dan jangan ambil mudah perkara ini kerana kami akan melaksanakan tugas walaupun pendekatan diambil mungkin tidak digemari masyarakat kerana pihak polis terpaksa melakukannya,”

Demikian kata Mazlan yang ditemui selepas melakukan pemeriksaan di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin aka Hilmi.

Bagi yang lolos, ini amaran polis

Mazlan berkata, amaran berhubung larangan merentas negeri juga sudah banyak kali dikeluarkan pihak berkuasa, namun masih ada segelintir individu yang berdegil.

” Kerajaan sudah banyak kali memaklumkan kepada orang ramai termasuk memberi larangan berhubung perkara itu, namun masih ada lagi individu yang cuba-cuba rentas negeri untuk beraya di kampung halaman.

” Bagi individu ingkar ini, amaran kami adalah tunggu tindakan daripada pihak polis kerana pada masa sama mereka juga perlu kembali ke ibu kota selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan mengenakan kompaun kepada individu yang melanggar perintah itu.

” Tindakan lebih agresif akan diambil berhubung perkara ini termasuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang tiada surat kebenaran untuk merentas negeri.

” Masyarakat dinasihatkan supaya menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan mengikut arahan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan serta kesihatan ahli keluarga terhindar daripada wabak COVlD-19,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pasukan khas yang turut dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan di kawasan perumahan dan kampung di seluruh negara.

” Arahan telah dikeluarkan kepada semua Ketua Polis Negeri untuk mengambil tindakan (pemantauan di seluruh negara).

” PDRM ada rekod siapa yang mendapat kebenaran rentas negeri dan siapa tidak,” katanya.