
Ebby Yus, 56, yang juga merupakan pelakon sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK), terkilan dengan sikap segelintir ejen insurans yang mengambil peluang sewenang-wenangnya memuat naik foto disertakan petikan kenyataan pernah dibuatnya pada 2 Mei lalu.
Pemilik nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid ini berkata, pada tarikh berkenaan dia ada membuat temu bual secara langsung di media sosial dengan satu syarikat insurans terkenal.
” Pembabitan saya dalam temu bual diatur syarikat insurans itu dibayar, bagi menyuntik kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya ada insurans dan kad perubatan pada masa kini.
” Namun, tak sangka pula kenyataan saya dalam temubual itu diguna pakai oleh ramai ejen insurans lain dengan sewenang-wenangnya di media sosial mereka untuk menarik pelanggan.
” Apa yang dilakukan mereka (ejen insurans) itu tidak adil untuk saya kerana sehingga kini segala bayaran perubatan saya masih dibayar menggunakan kewangan sendiri,” katanya.
Kasihanlah pada saya yang kurang sihat ini
Menurut Ebby, pihak ejen insurans terbabit sepatutnya bertindak lebih beradab dengan menghubungi atau bertemunya untuk berbincang urusan kerjasama dan dapatlah juga dia sumber pendapatan sampingan.
” Kasihanlah pada saya yang kurang sihat ini. Walaupun masih bekerja tetapi secara kontrak dan pendapatan pun tidak tetap.
” Jadi, dengan bantuan anda (ejen insurans) yang sedia bekerjasama untuk bantu jual pakej insurans disediakan, dapatlah sedikit sebanyak membantu saya.
” Apapun, maafkan saya dan doakan saya. Dalam soal ini, saya pun bukan nak meminta-minta.
” Tapi, menjadi hak saya untuk sumber pendapatan sampingan.
” Saya harap, apa yang disuarakan ini dapat difahami serta diterima dengan baik oleh semua ejen insurans berkenaan.
” Janganlah mengambil kesempatan dengan mudah,” katanya.
Ebby berkata dia juga memaafkan dan menghalalkan tindakan ejen insurans yang sudah menggunakan foto dan kenyataannya itu.
Ujarnya pada ejen insurans lain yang belum berbuat demikian, dialu-alukan datang berjumpa untuk berbincang dengannya.
Beliau sebelum ini mengambil pendekatan merujuk kepada persatuan untuk berkongsi masalah dihadapi apabila pendapatannya terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.
Katanya, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap sudah menghubungi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk bertanyakan jenis bantuan yang sesuai.
” Hari kedua selepas kerajaaan mengumumkan perlaksanaan PKP, saya sudah menghubungi Seniman menerusi salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) untuk bertanya mengenai bantuan.” luahnya