Semasa

Keputusan Adakah Tempoh Moratorium Akan Dilanjutkan, Ini Penjelasan Tengku Zafrul

Kelonggaran diberikan pihak bank menangguhkan pembiayaan pinjaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan memberi kelegaan kepada orang ramai.

Meskipun tempoh itu hanya untuk 6 bulan, namun cukup untuk memberi ruang kepada orang ramai yang terjejas dari segi kewangan.

Ramai juga bertanya adakah tempoh tersebut akan dilanjutkan?

Keputusan untuk melanjutkan tempoh moratorium selepas September ini bergantung kepada budi bicara bank sepenuhnya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun pihaknya akan berhubung dengan institusi perbankan bagi membincangkan mengenai moratorium terbabit.

Katanya, kerajaan menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang meminta untuk melanjutkan moratorium.

” Kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai moratorium dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya lagi atau tidak.

” Namun, pada pandangan peribadi saya kita perlu menolong orang yang perlu ditolong, sewaktu kita melaksanakan moratorium enam bulan ini, kita menolong semua orang sama ada yang mempunyai gaji atau mampu untuk membayar, tetap dapat nikmati manfaat ini secara automatik.

” Jadi saya fikir menuju ke depan langkah terbaik ialah untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar yang mana lebih memerlukan.

” Tetapi kita tidak boleh memaksa bank untuk melakukannya dan kami akan terus mengadakan perbincangan dengan mereka mengenai perkara ini,”

Tengku Zafrul berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Tengku Zafrul menyarankan agar orang ramai segera berjumpa dengan institusi bank masing-masing bagi berbincang mengenai penstrukturan semula pinjaman mereka.

” Jangan tunggu hingga saat akhir terutama bagi mereka yang sudah kehilangan kerja. Perlu berbincang secara terus dengan pihak bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

” AKPK juga telah mula berjumpa dengan banyak peminjam mengenai perkara ini,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Sejumlah RM43.7 bilion sudah dimafaatkan oleh penerima moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan setakat 19 Jun lalu dengan sebanyak RM15.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.