Semasa

Dikompaun RM500, Pasangan Suami Isteri OKU Dtg ke Pejabat Adun Minta Bantuan. Ini Akhirnya Terjadi

Tindakan pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Melaka untuk membuat rayuan pengurangan kompaun mendapat perhatian pemimpin masyarakat.

Penyelaras Japerun Durian Tunggal Datuk Ismail Ibrahim berkata, pasangan terbabit Abd Halim Hashim, 43 dan isterinya Norhazaliza Daud, 36, ke pejabat berkenaan bersama surat kompaun daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

” Mereka dikompaun RM500 kerana didakwa membuang sampah dan tidak mampu membayar jumlah itu yang terlalu besar bagi mereka.

” Kami amat terharu dengan tindakan mereka yang sanggup hadir ke pejabat walaupun dalam kepayahan memandangkan kedua-duanya cacat fizikal dengan suaminya menggunakan kerusi roda untuk bergerak,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pasangan terbabit menyara dua anak lelaki berusia 7 dan 9 tahun dengan hanya berniaga makanan ringan secara kecil kecilan di kediaman mereka.

” Mereka menyewa rumah milik Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Pangsapuri Murai Jaya, di Durian Tunggal dan turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

” Isterinya pula mendapat bantuan makanan daripada JAIM. Dengan keadaan serba kekurangan mereka tidak mampu membayar jumlah kompaun yang dikeluarkan,” katanya.

Ismail berkata, menyedari kesukaran dihadapi suami isteri itu, pihaknya hadir ke rumah mereka untuk menyerahkan surat pengecualian kompaun.

Sementara, Norhazaliza berkata, kesalahan yang dilakukan adalah tidak disengajakan apabila anak sulung mereka meletakkan sampah agak jauh dari tong sampah yang disediakan.

” Kami meminta anak membuang sampah kerana kesukaran kami bergerak. Ia menjadi pengajaran kepada kami,” katanya.

Komen warganet

Sementara itu menerusi komen warganet, rata-rata tidak menyalahkan sesiapa samada pihak PBT atau pasangan OKU itu yang dikenakan kompaun akibat membuang sampah.

” Tak perlu salahkan sesiapa..setiap yang berlaku ada hikmahnya. Moralnya…jumpa orang susah sila bantu. Sikit pon tak apa. Kebersihan itu iman.” komen Razlan

” Dia tak perasan kot. kesian juga kat OKU pasangan suami isteri..,doa-doakan lah semoga dipermudahkan urusan mereka..,insha allah.” komen Nadia

” Takpela kalau tak mampu, baguslah tu ada pihak tampil membantu kekadang benda macam ni bila dah viral baru masing-masing ambik iktibar termasuk pegawai PBT tu sendiri” kata Azilah

” Terima kasih kepada pihak pejabat Adun kerana permudahkan urusan pasangan ini..semoga jadi ikutan kepada pejabat Adun lain dalam membantu masyarakat..tak perlu banyak kerenah bila membantu” kata Izhar