Semasa

Shuib Selamba Nak Sponsor Pergi Bercuti, Sekali Ini Jawapan Balas Dr Noor Hisham Sambil Tersenyum

” Wira negara!”, itu kata-kata dimuatnaik pelawak, Shuib Sepahtu di Instagram sambil berkongsi gambar beliau mengunjungi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Menariknya, Shuib menawarkan penajaan percutian dalam negara kepada Dr Noor Hisham sebagai tanda terima kasih kepada beliau yang memimpin barisan hadapan bagi mengekang penularan jangkitan COVlD-19.

Shuib yang juga juruhebah Hotfm membuat tawaran itu secara spontan ketika sesi dialog bersama media dalam menangani pandemik Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

” Ada plan (perancangan) nak cuti?

” Kalau Datuk nak bercuti saya sanggup sponsor (taja), tetapi jangan luar negara mahal, dalam negara ok,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham sambil tersenyum memberitahu beliau lebih selesa untuk berehat di rumah selepas penat bekerja.

” Isu dia bukan soal bercuti, cuti untuk rehat di rumah saja, kalau kerja 20 jam sehari banyak masa berehat di rumah saja daripada pergi berjalan sini berjalan sana.

” Bukan saya saja penat, tetapi semua petugas barisan hadapan sebab kita sudah bekerja tujuh bulan tanpa henti, tetapi ketika kes makin berkurangan saya benarkan mereka take a break,” katanya menjawab soalan Shuib.

Menurutnya, ketika ini pihaknya bimbang peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang memerlukan pasukannya bekerja keras semula.

” Saya hanya mewakili 250,000 petugas KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), jadi kerjasama padu antara kami dengan satu matlamat iaitu memutuskan jangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya.

Mei lalu, Dr Noor Hisham menarik perhatian media apabila mengumumkan dia diberi peluang untuk berehat seketika selepas bekerja tanpa henti sejak Disember 2019.

Selepas lima bulan bekerja tanpa henti dan ‘bersilat’ menjawab soalan wartawan setiap hari, akhirnya beliau diberi cuti oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) daripada membuat sidang media pada 9 Mei lalu.

Ditawarkan gelaran Datuk

Dalam perkembangan lain, Shuib mendedahkan beliau telah ditawarkan gelaran Datuk, baru-baru ini.

Namun menurut Shuib, selepas membaca komen dan kritikan netizen yang mempersoalkan sumbangannya terhadap negara hingga layak dikurniakan gelaran Datuk, dia berat hati untuk menerimanya.

” Betul juga apa yang mereka kata. Tak mengapalah, biarlah dulu. Saya orang biasa saja.

” Kalau ada rezeki untuk diberikan gelaran itu, adalah. Kalau tidak ada pun tidak mengapa, tiada masalah. Saya enggan lagi ulas mengenai perkara ini,” katanya.

” Setiap individu ada hak untuk memberikan pendapat masing-masing. Saya akur dengan pendapat mereka dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan.

” Namun, saya tidak tahu apa yang akan berlaku esok hari, saya hanya ikut aturan ditetapkan. Kalau ada rezeki adalah,” katanya.