Semasa

‘Shah Rukh Khan’ Kini Meniaga Roti Canai. Tak Sangka Selepas Tular, Ini Yang Terjadi Kepada Bisnes Dia

” Sekarang saya mampu jual 400 hingga 500 keping roti canai berbanding sekitar 200 keping saja sehari sebelum ini.

” Tak sangka roti canai saya mendapat sambutan hangat hingga tak menang tangan dibuatnya,” kata Syaiful Afenddi Ismail, 44.

Sejak tular dengan gelaran Shah Rukh Khan (SRK) Temerloh, roti canai yang dihasilkannya laris bak pisang goreng panas.

Itu penangan populariti yang diterima oleh peniaga roti canai itu sejak foto yang diubahsuai mirip selebriti Bollywood itu tular di laman sosial lebih seminggu lalu.

” Memang lain macam penangan dan kini pelanggan siap cakap, roti SRK,” katanya yang berniaga di Taman Temerloh Jaya.

” Malah pelanggan saya bukan saja penduduk sekitar Temerloh, tetapi ada juga yang datang dari jauh, semata mata nak merasa roti canai SRK.

” Lebih teruja apabila ada pelanggan dari dalam kereta lagi dah menjerit memanggil nama SRK kepada saya, ” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan yang datang dari luar Temerloh semata-mata mahu berswafoto dengannya.

Syaiful Afenddi berkata, dia berniaga di lokasi itu sejak 10 tahun lalu namun berpengalaman menebar dan berniaga roti canai hampir 20 tahun.

” Saya jual roti canai ini dengan harga RM 1 sekeping, selain menghasilkan roti telur dan bom di gerai yang hanya menawarkan jualan secara bawa pulang dan beroperasi setiap hari bermula 7 hingga 11 pagi.

” Sebenarnya ramai yang mencadangkan supaya menukar nama gerai ini kepada Gerai SRK tetapi masih belum terfikir nak ubah, lagipun saya rasa macam tak layak pula,” katanya.

Wajah Syaiful Afenddi tular di media sosial selepas diubahsuai menggunakan aplikasi suntingan menjadi mirip Shah Rukh Khan dikongsi netizen.

Ramai mahu menjadi rakan termasuk dari Indonesia

Akibatnya, dia itu menerima ribuan permintaan untuk menjadi rakan di Facebook termasuk dari Indonesia sehingga dia meminta maaf kerana gurauan bersama rakan-rakannya itu menjadi sensasi.

” Sejak kisah tular (15 Julai lalu), FB saya menerima ribuan ‘friend request’ dari seluruh negara selepas wajah seiras Shah Rukh Khan.

” Niat saya hanya untuk suka-suka namun tidak sangka tular di laman sosial dan dikongsi ramai,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang berasal dari Temerloh, Pahang itu bagaimanapun terbuka dengan komen yang diterima daripada warganet.

Katanya, jika dilihat dari sudut positif penularan gambar itu juga membantu dia mempromosikan Masjid Temerloh Jaya yang sering dikongsinya.

” Saya ahli jawatankuasa media dan publisiti masjid, jadi secara tidak langsung penularan ini membantu orang ramai mengenali masjid berkenaan.

” Hebat kuasa tular ini sehingga FB masjid berkenaan juga menerima ‘like’ yang banyak sejak semalam,” katanya.