
Sebuah perkongsian seorang tenaga pengajar di Universiti Kuala Lumpur berkenaan kisah pelajarnya yang kantoi panjat pagar dengan berpakaian Alam Flora telah menyentuh hati ramai.
Melalui hantaran di Facebook, Muhammad Irwan berkongsi kisah pelajar itu yang terpaksa ‘curi-curi’ keluar asrama kerana mahu membuat kerja part time demi mencari duit lebih untuk dikirim kepada ibu di kampung.
Pukul 10 malam guard telefon aku,
” Sir, datang pintu pagar belakang dekat pos C”
Aku terus pakai baju dan bergegas ke Post C. Sampainya aku di sana kelihatan 2 orang pengawal sedang menahan seseorang dan dari jauh aku nampak ada uniform Alam Flora.
Sah ada penceroboh masuk kawasan asrama siap dengan uniform Alam Flora. Dalam fikiran akan rasa nak bawak ke Balai ataupun aku nak rembat 2 ke 3 kali dengan kayu rotan aku ni.
Apabila aku semakin dekat, susuk tubuh ni memang aku kenal sangat. Budak BMI???? Buat apa pulak dia pakai uniform Alam Flora?
” Hah..kau kenapa?” Aku tanya
” Saya nak pi kerja sir” jawabnya
” Kerja apa malam-malam ni? Siap uniform Alam flora ni?” Soal aku makin tegas.
” Saya kerja part time sir, sapu sampah dengan Alam Flora, saya kerja setiap hari Jumaat sampai Ahad.
” Dari pukul 10 malam sampai 7 pagi, kutip sampah dan kadang-kadang sapu sampah” matanya kelihatan berkaca ketika dia menerangkan satu persatu kerja beliau.
Arghh sudah…budak ni buat hal.Aku dalam dilema. Daripada niat asal aku nak rembat dengan kayu aku dah jadi sebak dan kesian. Aku sangat kenal dengan budak ni.
Budak ni mudah kalau aku nak minta tolong, dia juga dalam Team Gerila Dana Kita. Cuti semester, cuti Raya Puasa, Raya Haji atau apa-apa cuti tak pernah aku nampak dia balik kampung.
Ada sahaja kelibat dia di Kolej. Selalu pula ke Surau berjemaah. Setiap kali cuti dia akan whatsapps aku minta kerja apa yang boleh dia tolong.
” Dah tu kenapa awak gi panjat pagar? Kalau jatuh atau jadi apa-apa sapa nak jawab?”
” Saya takdak pilihan lain sir, lagipun gate tutup pukul 6 petang. Saya tahu saya tak boleh keluar”
Lalu aku minta guard buka pintu post C bagi dia keluar kerja dulu dan aku pesan mulai esok, keluar sebelum pagar tutup dan balik esoknya pukul 7 pagi. Jangan panjat pagar lagi.
Beliau keluar kerja sambil menangis.
Aku tahu dia buat salah, dan dia pun tahu dia bersalah. Tapi dalam hal ini Allah lebih nak uji aku sebenarnya. Dalam apa jua keadaan, kadang-kadang timbang rasa tu juga penting.
Kepada budak tu, aku sebenarnya sangat #respect beliau.
Dikala malam minggu ramai yang main PUBG, merempit ataupun pergi Kelab malam, beliau memilih untuk bekerja mengutip sampah dengan gaji harian RM45 bagi waktu kerja 10 malam hingga 7 pagi.
Gitulah kehidupan kita. Nasib kita semua tak sama.
Menerusi perkongsian cikgu Mohd Fadli Salleh pula, budak itu mendapat pinjaman MARA RM600. RM300 dihantar kat mak dia kat kampung. Hasil kerja part time pula biasanya dia hantar sekitar RM100 lagi seminggu.
Sumber: FB Muhammad Irwan