Semasa

‘Ada Duit, Makan. Takde, Tahan Jelah Lapar.’ Tak Prnah Rasa Pergi Sekolah, Jawapan Pomen Ini Buat Ramai Sebak

Dalam hidup ini, nasib kita masing-masing takkan sama. Tuhan adil menduga kita.

Ada yang kaya, ada sederhana dan ada yang papa. Semua ini ujian tuhan. Tak semestinya berharta, hidup akan sejahtera. Begitu juga sebaliknya. Semuanya ada hikmah tersendiri.

Aku berkongsi kisah malam ini tentang seorang anak muda. Baru berusia 20 tahun, beliau tak pernah merasai alam persekolahan.
Ibu dan bapa bercrai.

Si ibu berkahwin lain, bapa juga nikah baru. Dia, tinggal bersama si ibu. Aku tak pasti kenapa ibu dan ayahnya tidak menyekolahkan sejak dari kecil. Persoalan yang tak terjawab.

Mujur juga, dia boleh membaca dan mengira.

Biar tinggal bersama ibu, makan pakainya, dialah yang tanggung sendiri. Ibunya tidak menyediakan makan. Hubungan dengan ayah tirinya dingin. Mungkin tiada komunikasi.

Mungkinlah.

Nasib baik, dia diambil bekerja di kedai membaiki motorsikal. Dari langsung tak tahu apa-apa, kini dah boleh buka pasang tayar dan kerja mudah yang tak melibatkan enjin.

Sempatlah aku bertanya beberapa soalan dengan beliau. Anak muda ini tetap berwajah ceria bagaikan tiada mendung dalam hidupnya.

” Kau tak pernah sekolah langsung bang ?”
” Ye , cikgu. Tak pernah rasa pergi sekolah.”

” Habis, kau belajar baca macam mana ?”
” Saya belajar tengok kawan. Kawan ada ajar masa kecik dulu. Bolehlah cikgu.”

” Ini kau duduk dengan mak, mak tak masak. Kau makan sendiri?”
” Ye cikgu. Ada duit, makanlah. Takde, tahan jelah lapar.”

” Dengan ayah tiri ok tak?”
Dia geleng. Diam. Reaksi muka berubah.

Aku terus diam. Dah tak bertanya. Takut dia terasa hati. Jauh di sudut hati, aku kesal, kenapa anak ini malang begini nasibnya.

Dek kesalahan orang tua, dia harungi hidup sedemikaian rupa. Apalah dosanya lahir ke dunia tanpa mendapat didikan sempurna.

Sebenarnya, makin bercambah kes begini. Bilangan anak yang tidak didaftarkan kelahiran dan tidak bersekolah itu semakin ramai. Ada yang dek kemiskinan dan tak kurang juga dek kekhilafan orang tua mereka.

Inilah yang membimbangkan aku. Generasi masa depan, banyak yang bernasib malang angkara kesilapan kita golongan dewasa.

Sewajarnya kita lebih prihatin, lebih cakna akan permasalahan sedemikian. Usah dibiar jika dapat tahu kes keciciran sebegini. Hubungilah agensi yang boleh membantu mereka ini.

Mereka tidak berdosa. Mereka juga inginkan kehidupan yang selesa. Seperti mana kita yang baca ini nikmati sekarang ini.

Aku hulurkan sorok-sorok sekeping not berwarna oren. Dia terkejut.

” Duit makan. Buat makan, jangan buat benda lain. Isi perut tu, tenaga banyak nak guna. ”

” Terima kasih banyak cikgu.”

Dia menghulurkan tangan nak bersalam.
” Musim COVlD tak yah salam.”

Dia senyum, aku sengih.

Sengih aku kelat. Aku rasa tersangat ralat.

Ini kisah kehidupan yang nyata. Betapa di luar sana, ramai lagi yang hidupnya luar biasa. Luar dari norma kebiasaan seorang manusia.

Sumber:FB Pe Chey