Tiada Seorang Pun Pelajar Masuk Kelas Online Dan Akhirnya Anak Sendiri Yg Masuk. Guru Ini Akhirnya Bersuara

Baru-baru ini tular kisah seorang guru yang gigih melakukan kelas secara online namun akhirnya tiada seorang pun pelajarnya mengikuti kelas tersebut.

Lebih mencuri perhatian, anak gadis guru terbabit yang berasa sebak dengan situasi itu akhirnya mengambil keputusan untuk mendaftar masuk ke dalam kelas online bapanya itu.

Tambah gadis itu yang dikenali sebagai Nuha, bapanya pada awalnya teruja untuk untuk membuat kelas online menggunakan aplikasi zoom dan google meet dengan meminta bantuannya.

Namun, penantian itu menjadi sia-sia apabila tiada seorang pun yang mendaftar masuk untuk kelas online itu sedangkan mereka bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

Bukan setakat menunggu, malahan bapanya juga turut cuba untuk menghubungi para pelajarnya seorang demi seorang namun pelbagai alasan diberikan mereka untuk tidak menyertai kelas online tersebut.

Malah ada yang siap ‘offkan’ telefon kerana tahu guru mereka akan menghubungi mereka.

Cikgu Mustakim bersuara, bela pelajarnya

Tampil berkongsi perkara itu, guru terbabit Mustakim Bajoori, menceritakan perkara sebenar.

” Selepas tular baru-baru ini, ramai pelajar menghubungi saya memohon maaf dan berjanji hadir ke kelas saya pada masa akan datang,” kata guru Mata Pelajaran Vokasinal (MPV) Seni Reka Tanda itu.

Mustakim, 56, berkata, dia akui pembelajaran secara dalam talian sukar dilaksanakan kerana rangkaian Internet di kawasan kampung tidak begitu baik.

” Banyak kekangan dihadapi pelajar seperti tidak mampu membeli data dan terpaksa berkongsi telefon pintar bersama adik-beradik,” katanya yang tinggal di Tanjung Karang, Selangor.

Menurutnya, bagi membantu, dia menghantar modul pembelajaran kepada pelajar dengan cara meninggalkannya di pondok sekolah untuk dikutip.

” Saya ada juga rasa kecewa kerana terdapat ibu bapa kurang prihatin dengan pembelajaran anak-anak terutama ketika terpaksa menggunakan cara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah, ada beberapa elemen yang harus diambil perhatian.

” Antaranya ialah sikap dan komitmen guru dan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran, kerjasama ibu bapa, pemilikan peranti dan akses Internet.

” Guru tidak hanya menggunakan kaedah secara dalam talian saja, kerana ada pelajar tidak mempunyai kemudahan peranti dan Internet.

” Jika ada yang tidak berkemampuan, guru juga boleh menggunakan model pembelajaran bercetak atau e-modul yang dimuat turun lebih awal,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau tidak menafikan ada sesetengah pelajar tidak mahu menyertai kelas atas talian.

Katanya, ibu bapa diminta sentiasa berhubung dengan guru bagi mendapatkan khidmat nasihat sekiranya ada permasalahan berkaitan dengan kelas atas talian.

” Sebelum penutupan sekolah dijalankan, banyak sekolah mengadakan taklimat untuk memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai kelas dalam talian sewaktu pandemik Covid-19.

” Justeru, kita menyeru kepada pihak kerajaan bagi mempelbagaikan inisiatif pemilikan peranti dan capaian Internet kepada golongan B40 agar masalah pembelajaran atas talian dapat dikurangkan,” katanya.