Selesai Bantu Angkat Wrga Emas, Smua Trkedu Bila Anggota APM Berbisik Sesama Mereka Dan Keluarkn Dompet

Petang semalam, aku ke rumah orang-orang tua untuk membawa pulang Mak Cik Yati.

Sebaik Mak Cik Yati melihat aku, terus dia menangis. Mula-mula hanya perlahan, kemudian makin kuat lagi.

“Dah mak cik. Dah. Hari ni kita balik rumah ya,” bisikku perlahan.

Dia menganggukkan kepala dan menyapu airmatanya.

Sebenarnya, selepas seminggu masuk ke rumah orang-orang tua, arwah Pak Cik Saman dan Mak Cik Yati ada beritahu nak pulang ke rumah mereka semula.

Mereka bosan dan rasa asing sangat di sana. Aku pujuk supaya mereka bertahan sehingga akhir bulan. Dengan harapan mereka akan serasi dan boleh suaikan diri.

Masuk minggu kedua, pun sama juga. Masih bertanya bolehkah mereka pulang. Sama juga jawapan aku,

“Akhir bulan ni kita keluar ya kalau pak cik tak selesa. Sementara itu duduk sini dulu, ada orang jaga. Lagi pun pak cik ada appointment hospital minggu depan”.

Arwah hanya anggukkan kepala sambil merenung jauh.

Dan minggu ke-tiga mereka di sini, arwah dijemput pergi. Tinggal Mak Cik Yati sendirian dalam kesedihan. Dan dia tetap ingin pulang.

Katanya ada jiran-jiran boleh tengokkan dia.

Namun jiran boleh tengok macamana sangat kan? Sesekali singgah, bolehlah. Nak duduk tunggu 24 jam sehari tak boleh. Mereka pun ada keluarga dan kerja.

Kebetulan aku ada kenal seorang ibu tunggal anak seorang yang ingin mencari kerja. Sebelum ini dia juga yang aku upah menjaga arwah Pak Cik Saman dan Mak Cik Yati.

Aku bertanya apa dia sanggup tinggal bersama Mak Cik Yati dan menjaganya. Alhamdulillah, dia setuju.

Maka petang semalam aku uruskan Mak Cik Yati pulang. Aku dapatkan bantuan dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kali ini untuk memudahkan urusan mengangkat Mak Cik Yati.

Sangat susah nak bawa pulang naik kereta dan tanpa tenaga sukarelawan yang pandai mengurus orang stroke ni.

Anggota APM berbisik dan kemudian keluarkan sesuatu dari poket

Kami memang selalu berurusan dengan APM sebelum ini. Dana Kita dan APM memang telah banyak kali buat program bersama. Dan kali ini pun mereka setuju untuk membantu, syukur.

Proses bawa pulang menjadi sangat mudah dengan bantuan mereka.

Paling aku terharu, sewaktu mereka hendak pulang beberapa anggota APM berbisik sesama mereka kemudian mengeluarkan dompet.

Not RM50 diambil dari dompet, dan diselit kat tangan Mak Cik Yati.

“Ambillah mak cik. Saya sedekah”.

Mengalir lagi airmata Mak Cik Yati. Tangan diletakkan di dada tanda terima kasih. Nak ucap dengan mulut, dia masih tak boleh nak bercakap.

Sungguh aku kagum dengan sikap anggota APM ini. Gaji mereka bukan sampai berpuluh ribu. Dah la datang membantu dengan rela, bagi kiriman duit lagi.

MasyaAllah. Baik-baik belaka orang yang aku jumpa. Mereka tidak kaya raya, harta mereka tidak bergunung banyaknya, namun hati mereka sangat kaya. Hebat sungguh.

Akhirnya hasrat Mak Cik Yati untuk pulang ke rumahnya tercapai. Meski pun tanpa arwah Pak Cik Saman, namun sekurang-kurangnya aku dapat juga tunaikan hasrat mak cik.

Aku pun lega kerana ada orang boleh menjaga mak cik setiap masa. Dan jiran-jiran pun baik-baik belaka. Semua pakat tunggu mak cik sampai, sebaik sampai semua serbu peluk dan tenangkan mak cik.

Semoga mak cik terus sihat dan baik-baik sahaja. Sesekali saya akan singgah berziarah dan bertanya khabar berita.

Terima kasih kepada semua yang membantu pada hari semalam. Hanya Allah sahaja mampu membalas jasa baik kalian semua.

Nombor akaun:564221646925
Bnk:Maybank
Nama akaun:Pertubuhan Kebajikan Dana Kita

Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

Sumber:FB cikgu Mohd Fadli Salleh