Persis Model Jelita, Gadis Ini Dedah Identiti Sbenar Buat Rmai Tak Prcaya, ‘Sy Bkn Cina Atau Melayu Borneo’

JIka sekali imbas, raut wajahnya kelihatan persis seorang gadis Melayu.

Dan selepas diamati, mungkin ramai yang meneka gadis ini berasal dari Borneo, berketurunan Tionghua ataupun mempunyai darah kacukan dari Filipina.

Begitulah reaksi yang sering diterima oleh gadis bernama Kartiana Aziz apabila pertama kali bersua muka dengan orang yang tidak dikenalinya.

Namun siapa sangka, gadis berambut ikal mayang dan berkulit cerah ini sebenarnya berketurunan Orang Asli dari suku Temuan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Kartiana berkata dia merupakan anak jati Orang Asli dari Negeri Sembilan.

” Saya berasal dari Kampung Belihoi, Seremban. Sebenarnya ibu dan bapa saya tiada kacukan, tapi datuk iaitu ayah kepada ibu saya berketurunan Melayu.

” Memang kalau pergi mana-mana, orang akan ingat saya gadis Melayu, Cina, dari Sabah atau Sarawak. Yang ingat saya gadis Filipina pun ada.

” Bila beritahu saya gadis Orang Asli, mereka tak percaya melainkan selepas melihat sendiri kad pengenalan.

Kartiana sering kali disalaherti sebagai gadis Melayu atau berasal dari Borneo.

” Kalau saya berjalan bersama adik-adik sepupu, lagilah orang tak percaya sebab raut wajah yang hampir sama dan berkulit cerah,” ujar gadis berusia 22 tahun ini.

Fasih berbahasa Melayu, gadis ini mendapat perhatian ramai selepas dia memuat naik beberapa video mengenai asal usul dirinya dan budaya suku Temuan.

” Saya baru saja buat akaun TikTok selepas lihat adik sepupu buat. Jadi saya fikir mengapa tidak saya gunakan medium TikTok untuk perkenalkan diri dan serba sedikit mengenai kaum kami. Idea untuk buat content tersebut secara spontan sahaja.

” Mesej yang saya cuba sampaikan menerusi video-video tersebut selain nak memperkenalkan mengenai suku Temuan, saya juga mahu ubah persepsi masyarakat luar terhadap Orang Asli.

” Lazimnya ramai yang stereotaip apabila sebut Orang Asli… mereka akan fikir mengenai rambut kerinting, bau busuk, berkulit gelap, mundur dan macam-macam yang kurang enak.

” Jadi saya mahu tukarkan persepsi negatif kepada positif,” ujar graduan jurusan pelancongan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini lagi.

Kartiana mempunyai raut wajah yang cantik. Sepupu Kartiana turut mempunyai kulit cerah dan mempunyai iras wajah sepertinya.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik ini, dia sedikit pun tidak berasa malu malah bangga dengan asal usul serta budaya kaum sendiri.

” Saya berani ke depan sebab saya nak ubah mindset orang mengenai Orang Asli. Dulu masa sekolah, saya pernah jadi mangsa buli jadi saya tak mahu adik-adik sebangsa saya terima nasib yang sama.

” Tak sangka pula dapat jumlah tontonan yang banyak. Biasalah, dalam ramai-ramai yang komen positif, pasti terselit juga komen negatif. Tapi melihat sambutan yang menggalakkan ini, saya bersemangat nak buat content mengenai Orang Asli lagi.

” Apa yang boleh saya katakan, usahlah hakimi orang lain… jangan anggap Orang Asli ni tinggal di hutan saja. Ubahlah cara pemikiran dan sebarkan perkara positif,” katanya lagi.

Sumber:mstar