
‘Kehangatan’ isu rentas negeri oleh beberapa selebriti dan orang kenamaan menyebabkan seorang guru tidak terkecuali menerima tempiasnya gara-gara sering memuat naik gambar mengedarkan bantuan serta sumbangan untuk golongan memerlukan di seluruh pelusuk negara.
Mnerusi satu posting di Facebook, Mohd Fadli Salleh berkata dia pernah menerima kata-kata berunsur sindiran disebabkan kerap dilihat ‘bebas’ ke mana-mana lokasi.
” Seronok la korang boleh rentas negeri, boleh jalan-jalan, guna nama NGO hantar bantuan je”. Okay, meh aku ceritakan keseronokan team kami ya. Baca dan hadamkan,” tulis guru ini yang juga aktivis kebajikan Pertubuhan Dana Kita.
Menurut Mohd Fadli, pasukannya akan bergerak ke lokasi penerima bantuan pada petang Jumaat selepas masing-masing menyelesaikan kerja hakiki.
” Pulang mandi bersiap, salam semua ahli keluarga, pergi ke stor angkat barang naik lori. Satu kotak set barang dapur dapur itu beratnya sekitar 8kg.
” Dalam Ramadan ini saja, sudah lebih 12,800 set barang dapur kami agih. 12,800 darab 8 kilogram (kg) kesemuanya 102,400 (kg).
” Seratus ribu kilogram pikul pakai tenaga manusia yang beberapa kerat ini sahaja. Baru seminggu puasa. Sebelum bergerak ke negeri yang dituju pun penat yang amat mengangkat.
” Dah bergerak, bukan boleh rehat. Bukan kami naik flight. Sendiri kena drive lori gilir-gilir,” ceritanya.
Menempuhi perjalanan yang jaraknya mencapai ratusan kilometer bukan sahaja memenatkan, malah menurut Mohd Fadli, pasukannya juga hanya sempat mengalas perut ketika berada di atas jalan raya.
Tambah Mohd Fadli, sebaik sampai di lokasi, mereka hanya sempat melepaskan lelah dan melelapkan mata di tempat penginapan tidak lebih dari empat jam sebelum memulakan misi bantuan pada keesokan harinya.
” Bangun je tidur, mandi bersiap terus hantar barang dapur ke lokasi yang ditetapkan. Kena angkut lagi barang bawa turun.
” Ulang sekali lagi, 8kg satu kotak. Kalau 3,000 kotak dah 24,000kg. Ya, angkat guna tenaga manusia. Guna kudrat dan ‘reng’ kami.
” Esok rutin sama diulang lagi. Masa dalam kereta, letak je kepala pasti lena. Bangkit lena, tukar jadi driver pula. Mulut ternganga ke, berdengkur macam enjin jet ke, tiada siapa m4rah.
” Paling kuat kami ambil gambar dan post dalam grup kami kemudian saling gelak satu sesama. Pulang dari misi biasanya sampai pukul 3 atau 4 pagi. Pukul 8 pagi jap lagi kena terpacak ditempat kerja masing-masing pula,” ceritanya.
Biarpun tidak cukup masa untuk rehat dan terpaksa mengorbankan waktu hujung minggu masing-masing, namun ujarnya semangat untuk menggerakkan misi bantuan begitu berkobar-kobar.
” Team kami ini, pantang semboyan ditiup, berderet sahut. Padahal baru pulang dari misi memenatkan tiga hingga empat hari, pun nak buat lagi dan lagi. Gila dah mereka semua ni nak buat baik. Pakat berebut dan berlumba.
” Tinggal anak isteri, tinggal perniagaan, tangguh temujanji, tinggal makanan sedap, tinggal rehat yang sempurna atas katil empuk kat rumah hanya untuk join setiap misi bantuan kami.
” Berapa agaknya gaji mereka sehari sampai sanggup tinggalkan semua kesenangan dan pikul segala macam cabaran ni? Adakah gaji diberi 1,000 sehari? Tidak. Kosong. Tiada. Tiada seorang pun antara kami bergaji.
” Dan masih ada nak kata dengan siniis ‘seronok la korang. Boleh jalan-jalan’. Katakanlah semahu kamu.
” Kami hanya senyum dan teruskan saja. Kerana kerja buat kami ini bukan kerana kamu. Ia kerana amanah yang terpikul di bahu ini. Yang dikirim ribuan orang kepada kami,” tulisnya lagi.
Sumber:mstar