
” Memang seb4k apabila mengenangkan situasi itu, tapi apa boleh buat, perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,”
Itu luahan pelumba motocross, Muhamad Adam Hassan susulan vdeonya yang tular di media sosial sebelum ini.
Muhamad Adam, 29, memberi reaksi itu selepas vdeo dia dan ibunya, Aminah Abdullah, 63, meraih perhatian ketika ingin menyerahkan juadah raya di sempadan Jalan Kampung Sena, Arau, Perlis dan Kodiang, Kedah.
Apa yang menyentuh hati, menerusi rakaman itu ibunya sanggup meredah hujan semata-mata ingin memberikan bakul makanan berisi juadah raya itu buat anaknya.
Menurut Muhammad Adam, rakaman dia dan ibunya itu dibuat petang semalam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa di seluruh negara bermula hari ini.
” Ikutkan hati memang saya nak langkah saja sempadan itu dan memberikan payung pada ibu, tetapi disebabkan tidak mahu melanggar SOP, saya tidak berbuat demikian.
” Dalam waktu singkat itu, saya sempat bersalam dan cium ibu serta mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, ibunya tinggal di Kodiang, Kedah dan mengambil masa 10 minit untuk sampai ke lokasi sempadan itu manakala dia pula menyewa rumah di Kangar, Perlis.
Katanya, dia menyewa di Kangar sejak lebih lima tahun lalu kerana di situ adalah lokasi latihan perlumbaan motocross.
” Setiap tahun pasti saya akan pulang ke rumah beraya dengan ibu dan bapa serta adik beradik lain, namun ini kali pertama tidak dapat pulang seperti sebelum ini.
” Lebih menyedihkan lagi saya beraya tanpa ditemani keluarga tahun ini di rumah sewa ini,” katanya.
Bercerita lanjut, anak keempat daripada lima beradik itu berkata, ibunya ke lokasi sempadan Kedah dan Perlis itu dengan dihantar bapanya, Hassan Ibrahim, 61, menaiki kereta.
Katanya, bakul makanan diberi ibunya itu turut mengandungi juadah berbuka puasa selain juadah Aidilfitri iaitu ketupat dan kuih raya.
” Semalam, ramai yang menghantar kuih raya serta barangan di lokasi sempadan itu, tetapi hanya saya seorang saja situasi berbeza apabila ibu beri juadah raya sedangkan sambutan Aidilfitri dua hari lagi.
” Hanya kakak sulung saja yang berada di rumah ibu manakala adik beradik lain tidak dapat pulang ke kampung kerana menetap di negeri lain,” katanya.
Menurutnya, dia kini tidak dapat meneruskan kerjayanya sebagai pelumba motocross disebabkan perlu mematuhi SOP tertentu dan memilih meneruskan punca pendapatan dalam perniagaan penjualan produk kosmetik secara dalam talian bersama tunangnya, Nurazierah Azizy, 25.
Katanya, mereka memulakan perniagaan itu sejak empat bulan lalu dengan pendapatan yang hanya cukup untuk menampung kos sara hidup sahaja.
” Apapun, saya bersyukur sekurang-kurangnya ada punca pendapatan daripada tiada pendapatan langsung,” katanya.
Terdahulu, perkongsian video kisah Muhamad Adam dan ibunya yang berdurasi 16 saat dan dimuat naik di aplikasi TikTok oleh tunangnya itu mendapat perhatian warganet sehingga ditonton lebih 676,000 kali setakat ini.
Rata-rata warganet turut meluahkan perasaan sedih tidak dapat pulang ke kampung berjumpa orang tua hampir dua tahun berikutan sekatan rentas negeri.
Sumber:hmetr0