
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara keirin berbasikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.
Jelas Perdana Menteri, kejayaan itu tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.
” Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.
” Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi.
” “Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini.
” Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara,” katanya menerusi status terbaharu di Facebook.
Perdana Menteri turut mengucapkan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, barisan kejurulatihan dan seluruh kontinjen Malaysia atas kejayaan ini.
” Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.
” Iltizam dan semangat ‘Demi Malaysia’ yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi.
” Terima kasih Shah Firdaus. Tahniah Azizulhasni! Syabas Shah Firdaus!,” katanya.
Terdahulu, jaguh berbasikal negara itu menepati sasaran apabila menghadiahkan pingat untuk Malaysia menerusi kilauan perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik 2020, sebentar tadi.
Saingan di Velodrom Izu, Shizuoka menyaksikan Jason Kenny mempertahankan emas selepas bijak menggunakan teknik senko iaitu serangan awal.
Biarpun pelumba Great Britain itu melebarkan jarak dalam saingan tersebut, namun Azizulhasni yang juga Raja Keirin 2017 berupaya mendekatinya dan menamatkan saingan 0.763 saat di belakang Kenny.
Gangsa diraih pemenang dua emas Olimpik Tokyo, Harrie Lavreysen dari Belanda selepas ketinggalan 0.773s di belakang Kenny.
Malaysia menutup tirai Olimpik Tokyo dengan 1 perak selain 1 gangsa, yang diraih menerusi beregu lekaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Tamatnya aksi keirin sebentar tadi bermakna, Malaysia masih belum berjaya membawa bawa pulang emas yang dinanti-nantikan di pentas Olimpik.
Kenapa pacer acara keirin tu bagi kepada warga emas (orang tua)?
Hari ini, kita menyaksikan Datuk Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki di kejohanan Olimpik Tokyo 2020, selepas emas direnggut pelumba Great Britain, Jason Kenny.
Korang perasan tak masa final kierin tadi, ada seorang ‘pakcik-pakcik’ baju hitam kat depan pelumba pertama, diikuti pelumba-pelumba lain?
‘Pakcik’ kat depan tu digelar sebagai Pacer atau Derny yang akan menyamakan had laju para pelumba, sebelum perlumbaan sebenar dimulai.
Masa saingan akhir pagi tadi, salah seorang warga net mengutarakan soalan, “Kenapa peranan Pacer ni diberi kepada warga emas?” dan turut dibacakan oleh pengulas acara tersebut.
Nak tahu siapa ‘orang tua’ yang jadi Pacer dalam saingan akhir keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020 tadi, ikuti perkongsian melalui hantaran Hizandie Shuaib di bawah ini.
Tadi pengulas sukan kita Tuan Zainal Abidin Rawop ada sebut lebih kurang begini,
” Kenapa pacer acara keirin tu bagi kepada warga emas (orang tua)”.
Beliau sebut ni pun selepas baca tweet daripada rakyat Malaysia. Hahaha.
Gais, itu bukan sembarangan orang tua tau. Beliau merupakan bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Los Angeles 1984 dalam acara sprint individu.
Pada Olimpik Tokyo 2020 kali ini, beliau yang kini berusia 59 tahun telah diberi penghormatan untuk menjadi ‘Pacer’ bagi acara keirin.
Kesimpulannya, ‘orang tua’ yang bernama Sakamoto Tsutomu ni bukan ‘orang tua’ yang biasa-biasa ya. OLIMPIAN tu.
Ha jangan main-main dengan ‘orang tua’ ni.
Sumber:hmetr0 dan siakapkeli