Tahniah Diucapkan, Ismail Sabri Sah Dilantik Perdana Menteri ke-9 Negara Sebentar Tadi

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan pelantikan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakub sebagai perdana menteri baru menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatannya Isnin lalu.

” Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

” Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang,di lstana Negara,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.

Kenali siapa Ismail Sabri

Dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 18 Januari 1960, Datuk Seri Ismail Sabri mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bangau pada tahun 1967.

Beliau kemudiannya menyambungkan pengajian di Sekolah Menengah Air Putih di Kuantan pada tahun 1973, Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada tahun 1976 dan pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik.

Datuk Seri Ismail Sabri melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang undang-undang di mana tajuk bagi tesis Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) beliau adalah “Layanan terhadap tahanan politik di Malaysia”.

Memulakan kerjaya sebagai seorang peguam pada tahun 1985 di usia 25 tahun, Datuk Seri Ismail Sabri kemudiannya dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh pada tahun 1987 dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada tahun 1996.

Pada tahun 1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Tenggara Pahang (DARA) pada tahun 1995 dan Ahli Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia pada tahun yang sama.

Sebelum memasuki Parlimen pada tahun 2004, Datuk Seri Ismail Sabri berkhidmat sebagai Pengerusi Kompleks Sukan Negara.

Pada tahun 1987, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh.

Melihat kredibiliti yang dimilik, beliau dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian pada tahun 1993, TImbalan Ketua Bahagian pada tahun 2001 dan akhirnya menjadi Ketua Bahagian UMNO Temerloh pada tahun 2004 di usia 44 tahun.

Datuk Seri Ismail Sabri terpilih ke Parlimen pada pilihan raya 2004, menjadi ahli parlimen pertama untuk kerusi baharu iaitu Bera.

Pada pilihan raya tahun 2008, beliau sekali lagi dipilih dan dilantik sebagai dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Abdullah bin Ahmad Badawi sebagai Menteri Belia dan Sukan (2008-2009).

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu iaitu Datuk Seri Najib Razak pada April 2009, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (2009-2013).

Selepas pilihan raya umum 2013 di mana beliau mengekalkan kerusi parlimen, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2013-2015) dan kemudiannya berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Persekutuan (2015-2018).

Pada Mac 2020, beliau sekali lagi dilantik sebagai Menteri Kanan Malaysia (kluster keselamatan) dan Menteri Pertahanan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada Julai 2021, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sambil mengekalkan jawatan penting sebagai Menteri Pertahanan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggantikan beliau sebagai Menteri Kanan Malaysia (kluster keselamatan).

Pengunduran Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md. Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 16 Ogos 2021 menyebabkan kabinet juga dibubarkan.

Dengan berkhidmat selama 40 hari, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia paling singkat dalam sejarah negara.

Sumber:maIaysiakini