
Rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM), demikian dilaporkan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, dalam ciapan Twitter terbarunya.
Ia bermakna, Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya itu berakhir.
Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m di Stadium Olimpik Tokyo semalam.
Bagaimanapun, penyertaannya dibatalkan selepas protes daripada kem Ukraine, yang mendkwa atlet berusia 31 tahun itu lewat melaporkan diri di ‘call room’ (bilik pemeriksaan).
Ia menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval, memenangi pingat emas dengan catatan 17.34m (diiktiraf sebagai rekod dunia) dan rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi, meraih perak dengan 17.30m.
Pingat gangsa pula menjadi milik peserta Greece, Efstratios Nikolaidis, dengan 15.93m.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia & Sukan, DS Ti Lian Ker memaklumkan secara lebih terperinci tentang kronologi isu rayuan Ziyad yang ditolak dalam sebuah hantaran terkini di Facebook kira-kira jam 9 pagi tadi:
KronoIogi Rayuan Malaysia dan Isu Bantahan Ukraine Terhadap Kemenangan Ziyad
Maklumat terkini dari kontinjen Malaysia di Tokyo.
Sebagaimana maklum bahawa keputusan pertandingan Shot Put F 20 yang melibatkan atlit negara Mohd Ziyad Zolkifli yang telah beraksi cemerlang dengan dua kali memecahkan rekod dunia dan menduduki tempat pertama dengan lontaran 17.94 m.
Namun ia telah dibatalkan oleh Pengadil Pertandingan ekoran dari kelewatan Ziyad dan dua atlit dari Ecuador dan Australia melaporkan diri ke pusat panggilan ( Call Rooms ) sebelum acara dilangsungkan.
Keputusan ini dibuat oleh pengadil pertandingan ekoran dari satu bantahan yang diterima dari atlet Ukraine bahawa ketiga-tiga atlit tersebut telah lewat melaporkan diri dan ini adalah bertentangan dengan Peraturan Pertandingan Olahraga World Para Athletic di Para 5 ( Failure To Report To The Call Rooms ) di mana seseorang atlit tersebut boleh dihalang menyertai pertandingan kerana kelewatan melaporkan diri atau pun dibenarkan menyertai pertandingan tertakluk kepada keputusan pengadil mengenai kesalahan kelewatan melaporkan diri ke pusat panggilan ( Call Rooms ) tersebut.
Sekiranya kesalahan tersebut terbukti dilakukan, maka keputusan atlit terbabit akan dicatitkan sebagai DNS.
Keputusan pertandingan bagi Ziyad dan atlit dari Ecuador dan Australia telah diputuskan sebagai DNS ( Did Not Start ).
Kronologi kejadian tersebut terjadi adalah kerana kelewatan yang didakwa berlaku apabila ketiga-tiga atlit masih berada di trek latihan dan hanya bergerak ke pusat panggilan tersebut pada masa panggilan yang tertera iaitu pada jam 5.55 petang waktu Tokyo.
Ekoran dari hujan yang turun selain dari keadaan di kawasan tersebut yang agak padat dengan atlit-atlit dari acara-acara yang lain, ketiga-tiga atlit tersebut telah terhalang untuk memasuki pusat panggilan dan pada ketika itulah mereka didakwa telah lewat melaporkan diri.
Terdapat bantahan lisan oleh pegawai dari Ukraine pada ketika itu bahawa ketiga-tiga atlit tersebut sepatutnya tidak dibenarkan masuk ke pusat panggilan.
Selepas merayu supaya dibenarkan masuk ke pusat panggilan, maka mereka dibenarkan untuk menyertai pertandingan secara bersyarat (under protest) seperti yang dibenarkan dalam peraturan pertandingan seperti tersebut di atas.
Semasa pertandingan berlangsung, pegawai pasukan Malaysia telah menerima pesanan ringkas bahawa terdapat bantahan rasmi terhadap penyertaan atlit negara dan atlit Ecuador dan Australia dan pengadil pertandingan mengklasifikasikan bahawa penyertaan ketiga-tiga atlit tersebut adalah bersyarat dan akan dianggap DNS.
Lewat tiga minit
Sementara itu, memetik laporan terbaru BeritaHarian, lewat tiga minit menjadi punca atlet lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas dan rekod dunia di Paralimpik Tokyo.
Pelbagai versi punca kelewatan dilaporkan sebelum ini, antaranya lewat dua minit kerana menelefon ibu, kesesakan ke bilik menunggu dan hujan lebat, namun ia bukan alasan yang diberikan dalam rayuan.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Craig Spence, rayuan Ziyad dan dua atlet lagi – Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) – ditolak kerana alasan diberikan terlalu lemah.
Alasan mereka ialah tidak mendengar pengumuman atau ia dalam bahasa yang mereka tidak faham.
Bagi Spence, keputusan dibuat IPC adalah wajar dan tidak terlalu keras.
” Tiga atlet itu tiba tiga minit lewat. Orang lain tiba lima minit lebih awal. Jadi ia bukan satu hukvman yang keras,” kata Spence.
Ziyad merangkul emas dengan selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, tetapi dibatalkan berikutan bantahan Ukraine kerana lewat masuk ke bilik menunggu.
Atlet Ukraine Maksym Koval diisytiharkan pemenang pingat emas.
Sumber:bharian