
” Saya dah ready ni nak bersukan, anda semua?”
Demikian status yang dimuat naik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Instagram beliau pagi ini yang meraih perhatian warganet.
Menerusi perkongsian itu, Ismail Sabri turut berkongsi gambar beliau lengkap berpakaian riadah sedang memakai kasut sukan di tangga hadapan kediamannya.
Apa yang meraih tumpuan sebenarnya adalah respon warganet yang menjawab pertanyaan Perdana Menteri Malaysia ke-9 itu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata warganet dilihat lebih berminat untuk bertanyakan semula kepada ‘Paklong Mail’ tentang bila kebenaran rentas negeri akan diumumkan.
” Saya bersedia untuk rentas negeri ja dato tunggu dato umum ja,” komen Zulkifli
” Kami tengah standby untuk rentas negeri ni.. nak balik kampung.. Dato’ umum jer kami akan merentas desa,” komen Sharifah pula.
” Kami tak sabaq nak tunggu Dato umum boleh merentas negeri.. rindu mak ayah kat kampung,” balas Beyna.
Selain dari itu, beberapa ntizen lain turut sempat berseloroh selain memuji Ismail Sabri yang mengambil peluang cuti hari minggu untuk bersenam.
” Saya plan tadi nak gi jogging paklong..sy pun makan la dulu sebelum gi jogging.. siap makan ni..rasa berat pulak nak gi jogging.. katil duk panggil..” seloroh Fatihah.
Terdahulu, kebenaran merentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi berkuat kuasa serentak di seluruh negara, kata Ismail Sabri.
Perdana Menteri berkata, kebenaran serentak itu berikutan kebanyakan negeri dijangka mencapai kadar vksinasi populasi dewasa 80 peratus, apabila purata vksinasi individu berusia 18 tahun ke atas di seluruh negara mencapai 90 peratus.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat bersabar sementara menunggu kadar vksinasi negara mencapai 90 peratus dan akan mengumumkan kebenaran rentas negeri dalam tempoh terdekat.
” (Rentas negeri) serentak seluruh negara. Walaupun janji peringkat awal 80 peratus (kadar vksinasi lengkap populasi dewasa), tapi program vksinasi di negeri masih di peringkat rendah iaitu sekitar 60, 70 peratus.
” Kalau kita buka seluruh negara (ketika kadar vksinasi lengkap 80 peratus), mungkin akan berikan kesan yang tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusannya.
” Namun jika (purata vksinasi seluruh negara negara) 90 peratus, kita jangka purata di negeri sudah pun melebihi 80 peratus,” katanya pada sidang media selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mekanisme kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan kerajaan, dan sama ada kebenaran itu akan membabitkan semua negeri.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberi jaminan larangan rentas negeri di seluruh negara yang berkuat kuasa sejak 10 Mei lalu, akan berakhir dalam tempoh beberapa hari lagi.
” Kita tunggulah, tapi dah tak lama dah. Saya yakin tak lama. Kita akan umumkan dalam waktu terdekat.
” Sehari, dua hari, tiga hari ke, tak tahulah. Tunggulah, tapi tak lama dah,” katanya.
Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vksinasi dewasa.
Larangan rentas negeri seluruh negara sejak lebih empat bulan lalu semakin menghampiri penghujungnya apabila kadar vksinasi lengkap populasi dewasa mencecah 89.1 peratus setakat tengah malam tadi, iaitu 0.9 peratus sebelum aktiviti itu dibenarkan.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan kebenaran rentas negeri tidak akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu, sebaliknya mengguna pakai SOP sedia ada.
Sumber:IG Ismail Sabri dan bharian