‘Setiap Hari Ada 5 Ringgit Je, Macam Mana Nak Survive Memang Ada Banyak Tu Jer’ – Pengakuan Nabil

” Daripada situlah apa yang anda tengok ini..daripada seringgit, dia boleh bertukar menjadi beribu-ribu ringgit..”

Itu antara sebahagian perkongsian pelawak dan pengacara popular, Nabil Ahmad yang berkongsi kisah pahit jerih beliau berkelana sebagai seorang anak seni.

Jika lebih 14 tahun lalu, dirinya hanyalah seorang budak penghantar surat atau digelar ‘mat despatch’, kini Nabil boleh dikatakan berada di kerusi yang jauh lebih selesa.

Daripada kehidupan berlegar-legar di atas jalan raya kepada sebuah kehidupan penuh glamor di kaca televisyen, pelawak berusia 35 tahun itu sebenarnya masih Nabil yang sama. Bahkan, katanya, sehingga hari ini, dia masih lagi sedar siapa dirinya.

” Dahulu saya pernah menjual burger pada waktu malam, manakala pada siang hari pula saya bekerja sebagai seorang despatch. Gaji pun dalam RM500, beri kepada ibu sebanyak RM100.

” Itu pun saya pernah pinjam semula wang daripada ibu RM50 selepas beri kerana tidak cukup.

” Jadi, saya tidak nampak alasan kenapa saya perlu menyombong dengan orang lain sekarang,” kata pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad itu.

Jelas Nabil lagi, dia tidak pernah mahu mendabik dada dengan apa yang dimilikinya. Ini kerana, dia percaya dengan setiap rezeki yang diperolehnya itu bukanlah 100 peratus hak dirinya.

” Saya tidak ada pendidikan tinggi. Apa yang saya ada hanya peluang. Dalam ramai kawan saya ketika menjadi despetch dulu, Allah nak pilih saya untuk terima rezeki-Nya. Bagaimanapun, rezeki itu bukan untuk saya seorang.

” Jadi, kalau orang keliling yang pernah bersama saya datang minta tolong, saya tidak boleh kata tidak.

” Saya hanyalah tempat untuk Allah salurkan sahaja rezekinya agar saya boleh kongsikan dengan orang lain. Bukan untuk saya seorang,” ceritanya.

Ada RM5 dalam poket daripada pagi nak survive sampai esok.

Dalam pada itu, memetik perkongsian Nabil menerusi Youtube Zayan: Kisah Inspirasi Nabil Ahmad, Nabil berkongsi kisah bagaimana beliau dahulunya seorang yang alpa.

” Sampai kita jadi takut, ya Allah aku tak baik mana pun, dosa aku banyak. Aku mengaji pun tak pandai, sembahyang pun tinggal, puasa pun tak cukup..

” Tapi kenapa sampai macam ni sekali Kau hidangkan dekat aku atas dunia ni..

” Saya dah berada dalam industri hiburan ini lebih 10 tahun.

” Benda yang paling susah yang pernah saya lalui adalah dari segi kewangan..macam mana boleh survive hari-hari dengan cuma ada RM5 dalam poket daripada pagi nak survive sampai esok.

” Setiap hari memang ada 5 ringgit jer. Buat la macam mana pun, kerja la keras macam mana pun memang ada banyak tu jer.

” Pernah makan hutang? Pernah? Saya pernah..makan berhutang, minum air separuh-separuh dengan member. Pernah bayar roti canai separuh-separuh dengan member tak nak tanya? Saya pernah…” luah anak jati Mambau, Seremban ini.

Tinggal RM2 dalam poket, sedekah seringgit kepada seorang pakcik

Nabil turut mengimbau semula kisah bagaimana beliau memberi sedekah kepada seorang pakcik meskipun ketika itu di dalam poketnya hanya tinggal RM2.

” 12 tahun lepas, waktu asar saya solat di sebuah masid dekat Taman Tun, saya cuma ada berbekalkan 2 ringgit je dalam poket.

” Jadi 2 ringgit ni memang saya dah bajet untuk isi minyak daripada Damansara nak ke Puchong.

” Lepas saya solat Asar tu, nak keluar dari masjid, ada seorang pakcik ni dia tahan saya..dia tanya ada duit lebih ke, boleh ke bagi sikit ke?

” Masa tu saya macam tak ada fikir apa-apa, saya memang tahu ada 2 ringgit, tapi saya terus bagi dia seringgit.

” Takde persoalan macam alamak tinggal 2 ringgit ni, tak ada..saya memang terus bagi pakcik tu seringgit dan akhirnya petang tu saya balik ke Puchong.

” Sebulan lepas tu kot saya masuk Maharaja Lawak, daripada situlah apa yang anda tengok ini..daripada seringgit, dia boleh bertukar menjadi beribu-ribu ringgit..” kongsi Nabil.

Satu perkara lain yang menarik tentang Nabil yang umum sedia maklum adalah kisah penghijrahan beliau.

Sebelum ini tular beberapa gambar di mana Nabil menyertai aktiviti tabligh.

Akui figura berusia 39 tahun ini, sama seperti orang lain, dia juga berdepan dengan ujian dan dugaan untuk kekal istiqamah dan proses penghijrahan itu tidak semudah disangka.

” Tidak dinafikan apabila kita memilih untuk berubah ke arah kebaikan, ujian terbesar adalah untuk kekal istiqamah.

” Pada awal proses ini, saya memang rajin beribadah, cukup solat lima waktu. Bagaimanapun perlahan-lahan ada beberapa perkara yang membuatkan saya solat lewat, kadang-kadang ada tertinggal solat.

” Tidak terhenti di situ, saya mula rasa semua orang salah, ada sahaja perkara yang saya nak tegur. Contohnya dengan isteri saya, ada saja benda yang tak kena yang membuatkan saya rasa nak tegurnya.

” Bagaimanapun perlahan-lahan saya belajar cara terbaik untuk menegur dan lebih bersangka baik kerana bukan semua orang sempurna, termasuklah diri saya sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi temu bual bersama media secara maya baru-baru ini.

Ditanya pandangan skeptikal segelintir netizen apabila melihat selebriti berubah ke arah kebaikan, Nabil berkata, niat seseorang itu diibaratkan seperti seekor semut hitam, di atas batu hitam, di dalam cahaya malam.

” Maksudnya kita tak tahu niat seseorang itu dan kita tak layak untuk menilai orang lain.

” Bagaimanapun saya rasa, pemergiaan Allahyarham Siti Sarah membuka mata orang supaya tidak mudah menilai artis.

” Kalau tak dulu orang nampak semua artis sama, buat duit, hidup senang, hidup dalam lagha, tetapi saya kira persepsi itu sudah berubah.

” Saya harap dengan impak yang ditinggalkan arwah, dapat kurangkan orang berkata-kata buruk tentang sesiapa sahaja dalam media sosial,” jelasnya.

Sumber:youtube Zayan Kisah Inspirasi Nabil Ahmad, mybuletinmalaysia dan Olahan Asia Kini.