
” Susah hendak dapat rasa nasi lemak sesedap ini.”
Itu kata-kata Steven Foo, 50, seorang daripada ratusan pelanggan Rahmah Bujai, 55, yang setia beratur seawal 4 pagi untuk membeli nasi lemak wanita itu di Jalan Perkasa 1, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Kira-kira 20 minit selepas itu, kelihatan seorang wanita bersama lelaki warga emas tiba dengan menaiki kereta merah membawa pelbagai juadah dengan menu utamanya nasi lemak.
Selesai menyusun barangan niaga di atas meja lipat, Rahmah dilihat sabar dan ramah melayan pelanggan membeli nasi lemak.
PeIanggan pelbagai bangsa datang silih berganti, tidak sampai tiga jam, dua tong nasi lemak dan lapan bekas lauk pauknya sudah habis licin.
Sanggup bangun 4 pagi, beratur beli nasi lemak
Menurut Steven, dia menggemari nasi lemak Rahmah berikutan nasi dan lauknya cukup rasa selain kemurahan wanita itu yang tidak berkira dengan pelanggan.
” Bau wangi nasinya dan rasa santannya dipadankan dengan sambal ikan bilis dan sotong serta ayam rendangnya membuatkan saya tidak pernah jemu.
” Saya sanggup bangun 4 pagi beratur panjang semata-mata mahu menikmati keenakan nasi lemak ini,” katanya.
Rahmah yang setia ditemani seorang saudara lelakinya gigih mencari rezeki di tengah kesibukan ibu kota sejak lebih 25 tahun lalu.
Hanya menggunakan dua buah meja lipat di kaki lima sebuah bangunan, Nasi Lemak Beratur 7Eleven di Maluri menarik ratusan pelanggan yang sanggup berbaris lebih tiga jam untuk mencuba nasi lemak yang dijual.
Terletak di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven, Jalan Perkasa 1, Maluri, Rahmah Bujai, 56 telah menjual nasi lemak sejak lebih 20 tahun lalu dengan harga RM2 sahaja.
Ibu kepada lapan anak berusia antara 15 hingga 30 tahun ini berkata, pelanggannya bukan saja penduduk setempat, malah ada yang sanggup datang dari Puchong, Kajang, Ampang, Damansara, Gombak serta sekitar Lembah Klang.
” Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada penduduk setempat, pekerja syif dan penuntut kolej sekitar kawasan ini.
” Ada pelanggan saya bertahun-tahun masih setia datang mencari nasi lemak saya termasuk bekas pelajar kolej kawasan ini,” katanya ketika ditemui.
Tidak kedekut bahan, rahsia keenakan nasi lemak
Ditanya apakah rahsia mengekalkan keenakkan rasa nasi lemaknya hingga digilai peminat setia sejak 25 tahun lalu, katanya pakej ikhlas dan tidak kedekut bahan dalam penyediaan memasak menjadi prinsipnya selama ini.
” Rahsia saya ikhlas semasa masak. Nak tahan niaga lama masak elok-elok biar sedap nanti pelanggan tetap cari.
” Jangan kedekut bahan. Contohnya, sekarang musim bawang mahal tetapi saya tidak kurangkan tetap jaga kualiti.
” Malah, saya yakin rezeki tidak pernah putus dan jualan sentiasa habis berkat saya menggembirakan hati pelanggan disebabkan tidak pernah berkira dan niat berniaga sambil bersedekah,” katanya.
Menurut Rahmah, dia menyediakan 17 kilogram beras bersama lapan jenis masakan lauk yang dianggarkan mampu terjual 200 bungkus nasi lemak setiap hari.
” Biasanya saya masuk dapur 4 petang menyediakan bahan masakan lauk dan sambal sebelum sambung masak nasi dan bihun kira-kira 1 pagi.
” Jam 4 pagi, saya akan keluar dari rumah dan biasanya sebelum 6.30 pagi saya akan pulang ke rumah dan rehat sebentar sebelum ke pasar membeli barang pada tengah hari.
” Biarpun ada kalanya tidak cukup rehat, saya tetap cekal harungi kehidupan di bandar kerana ini saja pendapatan kami sekeluarga memandangkan dua anak di universiti dan anak bongsu masih bersekolah,” katanya.
” Sekarang, seorang maksimum boleh beli lima bungkus sahaja. Sebab kasihankan pelanggan lain yang berbaris panjang.
” Sebelum ni, ada yang beli berbelas bungkus seorang,” katanya.
Beratur seawal jam 2 pagi
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar jam 2 pagi hari ini mendapati lebih 50 pelanggan sudah pun mula berbaris.
Meskipun terpaksa berdiri di sepanjang kaki lima deretan bangunan kedai sejauh hampir 300 meter, rata-rata pengunjung tetap ceria dan sabar menanti giliran masing-masing.
Ada yang dilihat membawa kerusi lipat mudah alih supaya tidak perlu berdiri terlalu lama dalam barisan.
Ada yang bergilir-gilir dengan pasangan untuk beratur, tidak kurang yang duduk bersila di atas kaki lima deretan kedai sementara menunggu meja jualan dibuka.
Namun, pernah terjadi apabila beliau tidak dapat membeli nasi lemak itu walaupun sudah beratur panjang kerana ada yang datang lebih awal daripadanya.
Pengalaman sama dikongsi Izzat Rahman, 28 yang datang kali kedua hari ini kerana nasi lemak itu habis terjual pada hari sebelumnya.
” Memang panjang beraturnya. Saya pun hairan, macam mana boleh panjang orang beratur semata-mata untuk nasi lemak,” katanya.
Menghampiri jam 5 pagi, kami dapati kedua-dua tong nasi lemak telah pun habis. Kira-kira 10 pelanggan kelihatan kecewa, termasuk Muhammad Ali, 26 yang datang ke sini dari Petaling Jaya.
Beliau tidak menyangka ramai telah beratur sejak tengah malam namun bukan rezekinya untuk merasai nasi lemak viral itu.
” Nasi lemak habis. Tapi takpe lah. Kalau ada lauk, beli lauk je lah. Nasi beli ditempat lain. Nak buat macam mana. Ramai sangat yang beratur. Tengoklah esok atau lusa saya cuba lagi,”ujarnya.
Selain nasi lemak biasa dengan lauk telur goreng, Rahmah juga menjual aneka jenis lauk pauk termasuk ayam masak merah, rendang dan sotong.
Beliau menyediakan kira-kira 14 ekor ayam setiap hari untuk dijual kepada pelanggan.
Namun, katanya, harga ayam dan sotong meningkat RM1 berbanding sebelum ini ekoran peningkatan harga barang, menjadi RM5 seketul ayam.
Sumber:hmetr0 dan malaysiagazette