
Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof sudah nyahsekat nombor telefon isterinya, Puteri Sarah Liyana, baru-baru ini.
Mengesahkannya, Puteri Sarah berkata, nyahsekat itu dilakukan selepas suaminya ketika memuat naik video dalam Instagram (IG) menjawab kenyataannya panggilan disekat oleh Syamsul sejak setahun lalu.
“Masa Syamsul muat naik video itu, dia sudah nyahsekat saya. Dia berbuat demikian kerana mahu menghantar mesej berbincang.
“Namun, ‘damage has been done’. Saya tetap akan memfailkan perceraian.
“Syamsul perlu ke mahkamah sahaja,” katanya ketika ditemubual program HLive, semalam.
Ditanya apakah masih mempunyai perasaan sayang terhadap suaminya itu, Puteri Sarah enggan mengulas lanjut. Sebaliknya, hanya menunjukkan isyarat mengunci mulut.
Terdahulu, Syamsul menjelaskan kerap dimaki hamun dan mahu mengelak pergaduhan menjadi puncanya menyekat nombor telefon Puteri Sarah.
Sementara itu, Puteri Sarah turut meluahkan terkilan apabila ada pihak mempertikaikan tangisan bapa mentuanya, Datuk Yusof Haslam dalam temubual bersama program Melodi, Ahad lalu.
Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu berkata, air mata mengalir memberi tanda betapa remuknya hati seorang bapa gara-gara terlalu kecewa dengan perbuatan anaknya.
“Saya amat sedih apabila melihat bapa mentua menangis. Tangisannya datang secara semula jadi.
“Walaupun ada segelintir menganggap jangan percaya pelakon menangis di depan televisyen (TV), namun situasi ini sangat berbeza.
“Hanya mereka berada di tempatnya akan dapat kesedihan dan kepedihannya. Orang yang tak nampak tidak akan tahu kekecewaan seorang bapa,” ungkapnya.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.
Susulan pengakuan Syamsul, topik berkaitan kemelut rumah tangganya dan kehadiran Ira Kazar sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga ‘trending’ dalam Twitter.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.
Sumber: BHARIAN ONLINE