
Syamsul Yusof mengambil langkah berdiam diri dan gagal dihubungi bagi mendapatkan komennya berhubung tindakan isteri pertama, Puteri Sarah Liyana yang memfailkan perceraian, hari ini.
Cubaan Harian Metro menghubungi Syamsul yang kini sibuk menjalani penggambaran filem terbaru arahannya, The Original Gangster tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon dan mesej WhatsApp.
Terdahulu, Puteri Sarah nekad mengambil jalan perpisahan untuk perhubungan mereka selepas sudah berfikir masak-masaknya dalam jangka masa lama sejak empat tahun lalu sehingga akhirnya menutup peluang kedua untuk Syamsul.
Apapun, keputusan untuk berpisah ini semestinya sudah diketahui Syamsul kerana ia terlebih dulu dimuat naik Puteri Sarah di Instagram minggu lalu sebelum memfailkannya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, Syamsul dalam temubual eksklusif bersama Harian Metro berkata, dia berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah dan keluarganya.
Artikel berkaitan..
“Cukup 9 tahun jadi isteri Syamsul”
SETELAH hampir sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Puteri Sarah Liyana akhirnya nekad memfailkan permohonan cerai terhadap suami iaitu pengarah Syamsul Yusof.
Susulan itu, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 7 Mac depan sebagai hari sebutan kes bagi permohonan cerai berkenaan.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, ketika ditemui mStar berkata tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah itu dilihat signifikan kerana hampir dengan tarikh ulang tahun perkahwinan mereka.
“Saya lega, kalau ikutkan tahun ini cukup sembilan tahun perkahwinan kami dan sebenarnya tarikh 7 Mac yang ditetapkan mahkamah ini sangat signifikan kerana 8 Mac adalah tarikh ulang tahun perkahwinan kami yang kesembilan.
“Syukur Alhamdulillah, cukuplah sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Mohd Syamsul. Nampaknya tak ada rezeki,” katanya kepada mStar.
Sarah berkongsi perkara itu ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pagi Isnin.
Sumber : HMETRO ONLINE / MSTAR ONLINE